Saturday, November 18, 2017

rasa ini;

rasa ini--

hari ini aku menaip lagi
berbekal kekuatan yang tersisa semalam
walau pedih masih menyengat dalam
berpura-pura aku membius rasa
cuba memadam sakit yang ada.


hari ini dalam tulisanku
akan kuluah sepenuh jiwa yang ada
pada suatu rasa yang pernah wujud
indah dan manis terasa
pedih dan pahit akhirnya.


mungkin pada saat dan ketika ini
kau masih juga insan yang sama
punya hati dan rasa yang sama
tetap juga bayang yang sama di sana
cuma bezanya hanya padaku
pada rasa yang hadir kerna hadirmu
pada cinta yang aku simpan untukmu
pada segala kenangan yang rupanya hanya aku yang merasa.


tidak sedikit kau cuba mengerti
tidak sedikit aku melihat reaksi hadirku di hadapanmu
tiada jawapan pasti mahupun sipi yang kau berikan
hanya aku dan sepiku berlalu tanpa kau tahu
sebenarnya hatiku ada untukmu.


mungkin tulisanku masih juga luahan kosong buatmu
tidak membawa erti walau secebis cuma
tapi ketahuilah pernah ada sebaris namamu yang aku simpan dalam doa
walau hanya dalam anganku sahaja.


hari ini aku menaip lagi
dan aku akan tetap menaip pada masa depan yang masih kelabu buat diri
cuma pastinya
ini kisah terakhir yang aku nukilkan khas buatmu
seorang sahabat yang Allah beri
dan akan kekal bersahabat sehingga ke Syurga Ilahi.


terima kasih pada sebuah kenangan-- bayang-bayang yang sentiasa kucari hadirmu dulu
silap aku menyimpan rasa kepadamu.

14112017/1731
lrt bangsar

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...